Saya minta Perdana Menteri percepatkan RUU Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen – Shafie Apdal

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen.

Katanya, langkah itu perlu memandangkan perbuatan lompat parti masih berlaku walaupun dalam usaha menuntut supaya RUU itu dibawa ke Parlimen berikutan ada pihak bertindak ‘membeli’ wakil rakyat daripada parti-parti.

“Kita kesal keadaan yang berlaku walaupun kita menganggotai kerana kononnya Kabinet bawa, tetapi masih lagi ada parti-parti di negara ini menggalakkan untuk melakukan pembelian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pembelian wakil rakyat dan ini bercanggah dengan niat parti dalam jawatankuasa itu.

“Esok menang kita boleh lompat. Esok jadi wakil rakyat, kita ada nilai, kita jual nilai ini. Ini yang tidak harus berlaku dalam keadaan sistem demokrasi di negara kita,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat WARISAN di Kolombong, semalam.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berharap pimpinan parti menghentikan budaya membeli ADUN dan dalam masa sama, RUU dapat dibentang di Parlimen segera.

“Saya minta Perdana Menteri percepatkan RUU ini dibentangkan di Parlimen untuk memastikan supaya apa yang dihasratkan di peringkat awal, mengelakkan supaya maruah dan martabat yang ada dan negara kita bukan lagi satu sistem amalan demokrasi.

“Saya difahamkan, perkara ini bukan lagi di bawah bidang kuasa Kabinet. Ini di bawah bidang kuasa Perdana Menteri untuk tentukan tarikh bila pembentangan RUU Anti Lompat ini di bawa ke Parlimen,” tegasnya.

Pada Ahad lalu, ADUN Kukusan, Rina Jainal bertindak keluar daripada WARISAN sekali gus menjadikan enam ADUN meninggalkan parti berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|