WARISAN perlukan rakan bawa undi KDMR

WARISAN perlukan rakan bawa undi KDMR

Kota Kinabalu: Tindakan Parti Warisan (WARISAN) mempelawa Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menunjukkan parti itu memerlukan rakan untuk mendapatkan sokongan pengundi Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Lee Kuok Tiung, berkata rakan parti itu sebelum ini yang membentuk kerjasama melalui WARISAN Plus, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) gagal mencapai matlamat berkenaan.

Katanya, ia berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 2020 yang menyaksikan UPKO hanya menyumbang satu kerusi daripada 12 kerusi yang diperuntukkan kepada parti berkenaan.

“Ternyata keputusan PRN Sabah pada 26 September 2020 menunjukkan WARISAN Plus memerlukan rakan yang mampu ‘deliver’ mereka undi KDMR.

“UPKO hanya mampu menang satu kerusi daripada 12 kerusi yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Sudah pastinya WARISAN Plus masih kerajaan sekiranya UPKO boleh menang separuh atau mengekalkan status quo lima kerusi yang dimenangi pada PRU-14 (2018),” katanya, di sini.

Beliau mengulas tindakan WARISAN mempelawa PBS untuk membentuk kerjasama baharu berbanding menghidupkan semula kerjasama melalui WARISAN Plus yang disertai UPKO selain DAP, PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun, katanya ketika ini agenda parti tempatan tidak lagi relevan bagi WARISAN setelah parti itu melebarkan sayap ke Semenanjung.

Sementara itu, katanya WARISAN mungkin mempelawa PBS untuk membentuk kerjasama berbanding parti lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdasarkan sokongan akar umbi.

“PBS mempunyai penyokong akar umbi yang setia bersama PBS. Sebahagian besar daripada penyokong-penyokong mereka telah bersama-sama parti tersebut dari awal penubuhan PBS pada 1985 sehingga kini.

“Berbeza STAR, sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang boleh dilihat adalah dari parti lain. Mereka seolah-olah mengadoptasi STAR sebagai platform untuk meneruskan perjuangan mereka sahaja,” katanya.

Kuok Tiung berkata, WARISAN juga tidak mempelawa Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) atau UPKO berikutan pencapaian buruk parti terbabit dalam PRN-16.

Pada pilhan raya itu, PBRS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sebarang kerusi, manakala UPKO hanya menang satu kerusi di DUN Kadamaian.

PBS dan STAR pula masing-masing memenangi tujuh dan enam kerusi.

“PBRS dan UPKO telah menunjukkan kemampuan mereka pada PRN Sabah pada 26 September 2020,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|