Pelawaan WARISAN taktik politik gugat kedudukan PBS dalam GRS

Pelawaan WARISAN taktik politik gugat kedudukan PBS dalam GRS

Kota Kinabalu: Tindakan Parti Warisan (WARISAN) mempelawa Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat mempunyai muslihat tertentu.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Lee Kuok Tiung, mengakui pelawaan yang disuarakan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu adalah satu taktik politik.

Beliau mengakui ia mungkin taktik WARISAN untuk mengeruhkan hubungan di antara PBS dengan rakan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) ketika ini.

“Ya, sudah pasti. Sudah pastinya akan ada rakan GRS yang mencurigai atau mengambil kesempatan menyingkirkan PBS untuk berebut kerusi Parlimen pada PRU-15 akan datang,” katanya mengulas tindakan WARISAN menyuarakan pelawaan terbuka kepada PBS untuk membentuk kerjasama menjelang PRU-15.

Mohd Shafie melalui hantaran di Facebooknya hari ini menyatakan keterbukaan WARISAN untuk bekerjasama dengan PBS pada PRU-15 jika parti itu juga terbuka terhadap perkara berkenaan.

Jelasnya, WARISAN melihat perlu ada gabungan dengan parti tempatan dan PBS antara parti yang dilihat sesuai ke arah kerjasama itu kerana beliau mengenali sebahagian pimpinan akar umbinya.

Sementara itu, Kuok Tiung berkata ini bukan kali pertama Mohd Shafie mencetuskan moral panik memandangkan tindakan sama pernah dilakukan sebelum ini.

“Ini kerana pada penghujung bulan puasa tahun lalu beliau turut menyatakan perkara yang sama di mana pada ketika itu telah menimbulkan suasana huru-hara juga apabila disusuli dengan pelbagai spekulasi.

“Pelawaan secara terbuka menerusi media itu bakal menguji kesetiaan dan persahabatan PBS dalam GRS juga,” katanya.

Katanya, walaupun saham PBS dilihat naik berikutan ada pihak berminat bekerjasama dengan parti berkenaan, ia perlu perlu tampil menjelaskan pendirian bagi mengelak sebarang spekulasi.

“Meskipun kenyataan Mohd Shafie itu menaikkan saham PBS yang dilihat seolah-olah ada permintaan dan minat daripada parti lain untuk bekerjasama dengan mereka, yang turut digunakan sebagai kuasa tawar-menawar kerusi dalam GRS, sebaik-baiknya bagi mengelakkan sebarang spekulasi, pihak PBS boleh tampil menjelaskannya,” katanya.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bagaimanapun sudah menjelaskan pendirian parti itu menolak pelawaan Mohd Shafie dan menegaskan kekal setia bersama GRS.

Dalam satu kenyataan petang tadi, Maximus menyatakan beliau menghargai minat yang ditunjukkan WARISAN untuk bekerjasama dengan PBS pada PRU-15, namun ia memilih untuk terus komited bersama GRS.

“PBS menghargai isyarat politik yang ditunjukkan WARISAN dan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bekerjasama menghadapi PRU akan datang.

“Namun, sebagai parti pelbagai kaum tempatan, PBS komited sepenuhnya dan tetap setia sebagai ahli pengasas GRS bersama rakannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|