284 jemaah haji Sabah berlepas ke tanah suci 13, 14 Jun

Kota Kinabalu: Seramai 284 bakal jemaah haji dari Sabah akan berlepas ke tanah suci melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 dan 14 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Tabung Haji Sabah, Yusdi Nasip ketika kunjungan hormat terhadap Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah, di sini, hari ini.

Pengarah Tabung Haji Sabah, Yusdi Nasip. Gambar ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Yusdi berkata penerbangan pertama pada 13 Jun membabitkan seramai 142 jemaah dari kawasan pantai barat Sabah.

Katanta, penerbangan itu turut disertai bakal jemaah haji dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Lawas, Sarawak.

“Pada hari kedua juga seramai 142 orang membabitkan jemaah dari kawasan pantai timur seperti Semporna, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

“Mereka juga berlepas terlebih dahulu ke KLIA sebelum bergabung dengan jemaah dari negeri lain untuk penerbangan terus dari KLIA ke Madinah,” katanya.

Beliau berkata, majlis pelepasan jemaah haji akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Hotel Raia Kota Kinabalu, Sembulan, di sini.

Sementara itu, beliau berkata bakal jemaah haji boleh membuat semakan surat tawaran, surat penerbangan dan rayuan menunaikan haji menggunakan aplikasi THiJARI.

Katanya, aplikasi yang diperkenalkan sejak 2019 itu diwajibkan penggunaannya kepada semua pendeposit Tabung Haji bagi melakukan urusan deposit secara dalam talian.

Yusdi berkata, melalui aplikasi itu, pendeposit boleh membuka akaun, membuat simpanan atau menyemak baki akaun Tabung Haji secara dalam talian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|