Maritim Malaysia rampas barang kawalan dan kosmetik

Tawau: Sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan berlebihan ditahan selepas didapati membawa pelbagai barangan kawalan, di kawasan timur laut Sungai Melayu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.45 malam itu, bot yang dikesan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu turut didapati membawa lebih 100 kotak barangan kosmetik.

Bot kargo sarat muatan barang kawalan dan kosmetik ditahan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan ditahan pasukan operasi yang sedang menjalankan rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur 2/13 dan Ops Cegah Pati Selatan.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Batu Tiga menuju ke Pulau Sebatik, pasukan operasi terus mengejar bot berkenaan untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan dokumentasi, tekong bot terbabit gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa selain disyaki bot terbabit membawa barang kawalan secara berlebihan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shahrizan berkata, penggeledahan secara menyeluruh menemukan sejumlah 50 tong gas LPG, 2,400 kilogram gula pasir, 1,480 kilogram daging beku dan lebih 100 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis yang dimuatkan di dalam bot kargo berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut berhubung kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke negara jiran.

“Ia berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.
Tekong, bot serta muatan terus ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan barang muatan turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM161,000,” katanya.

Shahrizan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sementara itu, Shahrizan berkata, bagi suku kedua tahun ini, Zon Maritim Tawau sudah melaksanakan 36 kes tangkapan pelbagai kesalahan membabitkan 1,222 pemeriksaan rutin di kawasan perairan Tawau.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Sehubungan itu, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau boleh disalurkan terus ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|