Lima lelaki ditahan seleweng 7,633 kg minyak masak bersubsidi

Sandakan: Lima lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit kegiatan penyelewengan 7,633 kilogram minyak masak bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Gereja, Batu Sembilan, di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Prdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, semua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

Azdy Zukkry John memeriksa kotak- kotak berisi minyak masak yang dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, serbuan dijalankan selepas risikan selama seminggu dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya menemui 449 kotak minyak masak bersamaan 7,633 kilogram di sembunyikan di dalam stor tanpa lesen berkenaan.

“Pasukan operasi turut merampas peralatan dipercayai untuk aktiviti menyeleweng minyak masak, lori, mesin pam dan gegelung hos.

“Kita mensyaki, semua minyak masak bersubsidi berkenaan dibeli pad aharga RM2.50 sekilogram daripada beberapa pihak dan dikumpul terlebih dahulu.

“Sebaik bekalan mencukupi, ia akan dibungkus semula dan dipercayai dijual pada harga industri iaitu sekitar RM7 lebih sekilogram,” katanya pada sidang media, hari ini.

Azdy berkata, semua minyak masak bersubsidi berkenaan dibeli daripada pembungkus yang sedang dikenal pasti.

Katanya, ia kemudiannya disyaki untuk dijual kepada pengguna minyak masak industri tempatan.

Susulan itu, Azdy berkata, semua suspek kini ditahan untuk siasatan dan minyak masak yang dianggarkan bernilai lebih rm50,282 itu turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|