Promosi TRCA sebagai pusat kajian, ekopelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) meneruskan usaha ke arah merancakkkan konservasi hutan menerusi penganjuran Eksplorasi Saintifik di Kawasan Konservasi Sungai Taliwas (TRCA) di Lahad Datu bagi mempromosikan TRCA sebagai pusat kajian dan ekopelancongan yang terkenal di Sabah.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, KYS mengambil inisiatif untuk mengadakan eksplorasi saintifik TRCA untuk mengkaji kepelbagaian bio, sumber asli dan potensi TRCA dalam usaha merangka pelan pembangunan dan aktiviti konservasi di kawasan berkenaan.

“Eksplorasi Saintifik ini dijalankan pada 7 sehingga 17 Jun ini yang terbahagi kepada lima topik utama iaitu sains fizikal, kepelbagaian flora, kepelbagaian fauna, sains sosial dan penggunaan sumber.

“Maklumat yang diperoleh hasil eksplorasi ini penting bagi merangka pelan pengurusan strategik TRCA,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan eksplorasi itu di Podium Menara Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata, seramai 150 peserta menyertai eksplorasi itu yang terdiri daripada penyelidik, pembantu penyelidik serta kakitangan KYS sebagai staf sokongan.

“Dalam konteks lain, eksplorasi saintifik ini adalah penekanan berterusan ke atas aspek-aspek pemeliharaan dan pemuliharaan dalam mempertingkatkan keberkesanan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber kepelbagaian biologi hutan negara secara berkekalan.

“Saya yakin melalui eksplorasi yang dilaksanakan ini, pelbagai penemuan yang signifikan bagi flora dan fauna akan berjaya direkodkan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan program itu berjalan lancar, satu jawatankuasa ditubuhkan dengan KYS sebagai penganjur utama diikuti pelbagai jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kerjasama eksplorasi.

Antaranya ialah Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar, WWF-Malaysia, Taman-taman Sabah (TTS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

TRCA yang terdiri daripada kawasan hutan pamah dan ultramafik yang unik seluas 9,546 hektar terletak 36 kilometer (km) dari bandar Lahad Datu dan 45 km dari bahagian timur Kawasan Konservasi Lembah Danum.

Ia juga merangkumi Hutan Simpan Sungai Segama yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Sepagaya (termasuk Bukit Silam) dan Hutan Simpan Dara Kawang – Gibong.

Kawasan itu dinaik taraf dan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) sebelum dimasukkan sebagai salah satu kawasan pengurusan Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum pada 10 Mei 2012.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|