Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menegaskan pendiriannya untuk terus kekal setia dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai parti itu ketika ini.
Ia sekali gus menolak sebarang kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) seperti disuarakan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan minat bekerjasama dengan PBS.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata beliau menghargai minat yang ditunjukkan WARISAN untuk bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun ia memilih untuk terus komited dengan GRS.
“PBS menghargai isyarat politik yang ditunjukkan WARISAN dan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bekerjasama menghadapi PRU akan datang.
“Namun, sebagai parti pelbagai kaum tempatan, PBS komited sepenuhnya dan tetap setia sebagai ahli pengasas GRS bersama rakannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-Deasoka