Afdlin perlu dikenakan tindakan disiplin – Razeef Rakimin

Afdlin perlu dikenakan tindakan disiplin – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Tindakan calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Afdlin Shauki membuat laporan polis terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kerana tidak berpuas hati terhadap sistem pemilihan harus dikenakan tindakan disiplin.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, tindakan Afdlin itu dilihat mencalarkan imej parti.

“Saya mengambil maklum tindakan salah seorang calon Ketua Cabang yang tewas, Afdlin Shauki yang membuat laporan polis terhadap JPP PKR kerana tidak berpuas hati terhadap sistem pemilihan.

“Afdlin yang tewas merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Pemilihan Keadilan 2022 menyaksikan beliau tidak berpuas hati terhadap kekalahan yang dialami dengan pelbagai dakwaan.

“Afdlin sepatutnya belajar disiplin dalam organisasi terutama parti politik. Sepatutnya dalam tempoh setahun sebagai anggota parti beliau sudah matang apatah lagi bila beliau cuba untuk menjadi pemimpin dalam PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razeef lagi, dalam PKR beliau bukanlah ‘primadona’ yang mana JPP perlu fokus kepada beliau seorang.

“Sehingga hari ini JPP masih menjalankan pengiraan untuk undi ragu dan masih dalam persediaan untuk pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), dan Exco AMK serta Wanita.

“Saya juga melihat JPP telah memberi penjelasan demi penjelasan terhadap setiap pertuduhan dan anggota parti perlu sabar,” katanya.

Sehubungan itu, Razeef berpandangan, jika Afdlin tidak yakin dengan ketelusan JPP, lebih baik beliau menarik diri sebagai calon MPP.

“Amat lucu bila beliau masih cuba untuk merebut jawatan MPP dan dalam masa sama menuduh seolah JPP menipu.

“Saya juga meminta anggota parti memberi ruang kepada JPP untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya yakin JPP akan meneliti setiap aduan yang diterima, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|