Mana utuhnya Warisan yang dicanang sebelum ini?

Mana utuhnya Warisan yang dicanang sebelum ini?

Kota Kinabalu: Tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meluangkan keyakinan mahu bergabung dengan parti lain termasuklah Parti Bersatu Sabah (PBS) diibaratkan seperti ‘biduk tiris menanti karam’.

Setiausaha Penerangan UMNO Sabah, Ibrahim Dzul Aklamat berkata, jika diamati, beberapa kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu semakin mengarut sejak kebelakangan ini walhal dalam beberapa kenyataan sebelumnya, beliau dengan gagah berkata Warisan semakin utuh.

Malah, pengumuman untuk bekerjasama dengan PBS atau parti nasional lain seperti disiarkan oleh media tempatan oleh Mohd Shafie turut disifatkan sebagai permainan politik dan sengaja mencetuskan perbalahan di antara parti komponen GRS/BN di Sabah.

“Provokasi mengatakan kesediaan Warisan berkerjasama dengan mana-mana parti politik dengan ternyata PBS yang dimaksudkan, bagi pandangan saya ianya menunjukkan betapa terdesaknya Presiden Warisan meminta ehsan pertolongan.

“Bukankah sebelum ini, beliau mengatakan Warisan amat kukuh sehingga mahu lebarkan sayap ke Semenanjung dan menolak Pakatan Harapan (PH)?

“Dengan kenyataan beliau semalam yang mahu bergabung dengan parti komponen GRS/BN semata-mata menjayakan agenda politik beliau, memperlihatkan betapa terdesaknya mereka mahu memerintah semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu terdahulu mengumumkan kesediaan Warisan untuk bergabung dengan PBS atau mana-mana parti nasional kerana beranggapan tiada parti yang boleh menubuhkan kerajaan sendirian.

Sementara itu, Ibrahim Dzul dalam perkembangan berasingan turut menempelak gelagat pimpinan Warisan yang menyelar tindakan keluar seorang lagi ADUN mereka daripada parti itu baru-baru ini.

Rina Jainal, ADUN Kukusan yang juga bekas Naib Ketua Wirawati Warisan merupakan wakil rakyat terbaru Warisan bertindak keluar dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dalam satu sidang medianya di Kota Kinabalu pada Ahad.

“Ini lagi satu isu, jika mereka (Warisan) ada mana-mana ADUN melompat masuk ke dalam parti mereka itu mereka akan katakan kehendak rakyat.

“Malah yang terbaru, dua ADUN DAP melompat keluar masuk ke dalam Warisan kenapa mereka tidak bising?

“Tindakan ini yang saya kira amat hipokrit kerana rakyat sedang memerhatikan gelagat mereka yang sentiasa menegakkan benang basah,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, seramai enam ADUN Warisan telah bertindak keluar parti termasuklah Naib Presiden dan Ketua Penerangan mereka dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS/BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|