Hari Kesedaran Keselamatan Maritim dilancarkan bersama komuniti

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau menganjurkan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim bersama komuniti di Taman Usba, Kampung Batu Payung, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, sambutan berkenaan diadakan secara serentak di seluruh negara.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman ketika sesi taklimat keselamatan.

Katanya, ia sebagai memperingati tarikh pengambilalihan tugas mengkoordinasi operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) daripada Jabatan Laut Malaysia bermula 6 Jun 2006.

“Pelaksanaan program ini bertujuan memberi kesedaran dan peringatan kepada komuniti maritim supaya sentiasa peka akan keselamatan kendiri sebelum atau semasa berada di laut.

Antara aktiviti yang diadakan ialah penggunaan alat keselamatan di laut.

“Antara pengisian utama program adalah sesi taklimat keselamatan dan penggunaan alat keselamatan di laut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Turut hadir Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Zaiton Tagasa, Pegawai Kemajuan Masyarakat, Mehdi Mohidin, Ketua Kampung, Amat Salleh serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung Batu Payong dan wakil dari persatuan nelayan.

Antara komuniti yang hadir program Hari Kesedaran Keselamatan Maritim di Taman Usba, Kampung Batu Payung, hari ini.

Shahrizan berkata, program berkenaan juga sebagai peringatan dan nasihat kepada komuniti supaya memberi perhatian terhadap keperluan peralatan keselamatan serta penekanan pemakaian jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

“Selain itu, program turut diserikan dengan penyampaian sumbangan jaket keselamatan kepada wakil dari persatuan nelayan setempat serta pameran dari unit Carilamat Zon Maritim Tawau.

“Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam meningkatkan kesedaran keselamatan di laut kepada semua komuniti maritim dengan harapan dapat mengurangkan kes kecemasan dan insiden di laut,” katanya.

Shahrizan berkata, sebarang kejadian kecemasan boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|