Saya fobia dipanggil katak – Masiung

Kota Kinabalu: “Saya seperti fobia sudah kena panggil ‘katak’,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

ADUN Bebas itu berkata, setakat ini beliau belum lagi menentukan hala tujunya untuk menyertai mana-mana parti politik di negeri ini namun tetap menyokong kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini biar saya bertenang dulu. Saya mengambil pendekatan untuk ‘cermin-cermin’ dulu, ‘teropong-teropong’ dulu keadaan politik ini.

“Tetapi untuk kerajaan negeri kita sokong kerajaan GRS dan kita sokong Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Rakan Media di sini, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan sering mendapat tawaran daripada pelbagai pihak untuk menyertai parti mereka dengan pelbagai tawaran.

“Pelawaan itu memang ramai. Banyak dari pelbagai parti ada, ada yang menyediakan jawatan-jawatan dalam parti, ada juga yang tawarkan Timbalan Presiden, ada juga Naib Presiden.

“Banyak tawaran tetapi itu yang saya katakan, berikan saya sedikit masa lagi untuk kita membaca politik yang sebenarnya.

“Nanti masuk sana, keluar nanti percaturan politik lagi, keluar lagi, (dipanggil) katak lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menyifatkan bahawa politik sebagai dinamik.

“Dalam politik tidak ada yang statik, tidak ada musuh selama-lamanya dan tidak ada kawan selama-lamanya. Ia dinamik sesuai dengan peredaran masa dan sesuai dengan suasana politik semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|