Dua rumah terbakar, dua mangsa cedera dan kucing diselamatkan

Kinabatangan: Dua individu melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Jaya Baru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 10 dan 53 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur di tangan, kaki dan badan.

Kucing yang diselamatkan dalam kebakaran di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 418 meter persegi.

“Terdapat dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan yang dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketangkasan pasukan bomba memadam api berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke empat lagi rumah berhampiran.

Katanya, pasukan operasi turut berjaya menyelamatkan seekor kucing yang berada di dalam kawasan kebakaran berkenaan.

“Api berjaya dikawal pada jam 8.36 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.11 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|