Tawau: Seorang penganggur dipenjara dua tahun dan denda RM5,000 selepas mengaku salah memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd Ali Tammalun, 26, yang melakukan kesalahan itu dua tahun lalu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, manakala lesen memandunya digantung dua tahun.
Mohd Ali berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 (Akta 333/87).
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.35 petang, 7 Februari 2020 di KM 55 Jalan Tawau- Semporna.
Tertuduh didakwa memandu secara cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Surtrisno, 25, dan Gyatri Usman, 21.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah Semporna menuju ke Tawau bersama tiga penumpang.
Kemalangan berlaku apabila tertuduh cuba memotong sebuah kenderaan dengan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motokar dinaiki dua mangsa.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee.
-Deasoka