Sawit Kinabalu bayar dividen RM30 juta kepada kerajaan negeri

Sawit Kinabalu bayar dividen RM30 juta kepada kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Sawit Kinabalu membayar RM30 juta dividen kepada kerajaan negeri bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021 dan sebagai dividen interim bagi suku kedua tahun ini.

Penyerahan dividen berkenaan kepada kerajaan negeri disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji bersama ahli lembaga pengarah Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera pada mesyuarat di Menara Kinabalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong mewakili kerajaan negeri menerima dividen berkenaan yang diserahkan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie.

Sawit Kinabalu mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM350 juta pada tahun lalu.

Sejak 1996, Kumpulan Sawit Kinabalu membayar RM1.3 bilion dividen kepada kerajaan negeri.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd selepas itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Kumpulan Sawit Kinabalu mencatat keuntungan sebelum cukai yang melebihi sasaran dengan rekod 222 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Kumpulan berkenaan mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.16 juta berbanding sasaran RM99.11 juta berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah (CPO) kepada RM6,215 per tan metrik.

Namun, Hajiji mengingatkan pengurusan Sawit Kinabalu mengenai harga CPO pada separuh kedua tahun ini yang dijangka jatuh kepada RM4,000 hingga RM4,300 per tan metrik.

“Saya minta pihak pengurusan untuk mengambil tindakan proaktif dalam menangani cabaran, termasuk berkaitan kenaikan kos pengeluaran,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu berikutan kejayaan memenangi dua anugerah baru-baru ini.

Dua anugerah terbabit ialah Conservation Partner Award dari Jabatan Perhutanan Negeri, diikuti World Brand Laureate dengan Best Brand Award for Corporate Excellence in Palm Oil 2021-2022.

“Sawit Kinabalu ialah syarikat industri kelapa sawit yang pertama di Sabah memenangi Best Brand Award.

“Ini menunjukkan Sawit Kinabalu berada di landasan yang betul dan saya berharap anugerah itu akan menaikkan lagi semangat untuk bekerja lebih keras bagi memastikan Sawit Kinabalu terus meningkatkan produktiviti menuju kecemerlangan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang dan Timbalan Pengerusi Borneo Samudera Sdn Bhd, Khairul Firdaus Akbar Khan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|