Program wacana ilmu beri pendedahan awal kepada OKU di IPT

Program wacana ilmu beri pendedahan awal kepada OKU di IPT

Kota Kinabalu: Program wacana ilmu yang mengupas pelaksanaan pendidikan inklusif di universiti dalam konteks pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) diharap dapat memberi pendedahan awal mengenai keperluan dan kebolehcapaian infrastruktur untuk golongan itu di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Program hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menampilkan lima penceramah jemputan termasuk staf dan pelajar OKU UIAM dengan tajuk Pelaksanaan Pendidikan Inklusif: Realiti, Cabaran dan Hala Tuju.

Pengarah Pusat Pengurusan OKU (PPOKU) UMS, Dr Zaiton Mohamad berkata, dalam pelaksanaan pendidikan inklusif, hak golongan istimewa ini tidak boleh dinafikan dan perlu dititikberatkan.

“Sudah pasti ia menuntut satu cabaran besar dan memerlukan tenaga sumber manusia yang mencukupi bagi memastikan Dasar OKU negara dan Dasar Inklusif OKU di IPT 2018 dilaksana.

“Sesungguhnya, PPOKU UMS akan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan pelajar dan kakitangan OKU di UMS sentiasa terjamin,” katanya pada program yang diadakan di Rumambai Galeri Azman Hashim (GAH) UMS, baru-baru ini.

Program itu dihadiri oleh penceramah, Ketua Unit Perkhidmatan OKU UIAM, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin; Penasihat Unit Perkhidmatan OKU UIAM, Mejar Jeneral Datuk Yusri Anwar dan Pegawai Keselamatan UMS, Inspektor Polis Bantuan, Massalinri Mohd Tahir.

Selain itu turut hadir ialah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Rasid Mail dan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Perhubungan Komuniti) UIAM, Profesor Madya Dr Zulkilfi Hasan.

Terdahulu, Zaiton dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UIAM atas kerjasama dalam penganjuran program tersebut.
“Saya percaya ini merupakan permulaan kepada pelbagai kerjasama lain pada masa akan datang.

“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan universiti yang sentiasa menyokong PPOKU dari dahulu sehingga kini terutamanya dalam memastikan kebajikan warga OKU di UMS sentiasa terjaga,” jelas Zaiton.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|