Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta selepas disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak pada 2016.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, manakala tambahan penjara 30 tahun lagi jika gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai.

Dalam penghakimannya pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Mohamed Zaini berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan memutuskan Rosmah bersalah dalam semua pertuduhan.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|