Sabah, KL City kongsi satu mata

Sabah, KL City kongsi satu mata

Kota Kinabalu: Sabah FC berkongsi satu mata dengan Kuala Lumpur (KL) City FC selepas terikat 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Keputusan yang tidak menepati sasaran itu berpunca daripada beberapa kelalaian yang menyebabkan pasukan lawan mendapat kelebihan sehingga berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Antara aksi pada perlawanan Sabah FC menentang KL City FC di Stadium Likas.

KL City berjaya mendapat gol pertama pada minit kelima hasil tandukan pemain importnya, Giancarlo Gallifuoca yang berjaya memanfaatkan bola daripada sepakan percuma oleh kapten pasukan, Paulo Jouse.

Selepas dikejutkan dengan jaringan pada minit awal itu, barulah Sabah mula mengatur serangan ke arah KL City dan berjaya mencipta beberapa peluang, namun dipatahkan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.

Sabah dilihat banyak melakukan serangan menarik bermula pada minit ke-12 apabila pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama melakukan cubaan dengan tandukan, namun agak lemah dan mudah dihalang oleh Mendoza.

Persembahan lebih agresif skuad Sang Badak dalam usaha mencari gol penyamaan.

Peluang seterusnya menyusul melalui dua sepakan sudut pada minit ke-23 dan ke-24 sebelum disusuli sepakan percuma dari luar sebelah kanan kotak penalti KL City pada minit ke-25, namun masih gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Beralih ke babak kedua perlawanan, rentak permainan sedikit berubah dengan persembahan lebih agresif skuad Sang Badak dalam usaha mencari gol penyamaan.

Sabah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-47, menerusi peluang dimanfaatkan Dominic Tan yang melakukan cubaan selepas melihat bola terlepas daripada hadangan penjaga gol KL City.

Bagaimanapun, Sabah sekali lagi dikecewakan apabila KL City berjaya menambah gol kedua menerusi Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-60 sekali gus mengubah kedudukan dengan KL City mendahului 2-1.

Namun, skuad Sang Badak tetap meneruskan usaha untuk sekali lagi menyamakan kedudukan sehingga akhirnya berjaya pada minit ke-85 menerusi sepakan percuma Saddil Ramdani.

Dengan kedudukan kembali terikat 2-2 ketika permainan sudah di hujung perlawanan, kedua-dua pasukan berusaha mencari peluang untuk mencipta gol kemenangan namun gagal, menyebabkan masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|