Satu maut, tiga cedera kemalangan babitkan dua motosikal

Satu maut, tiga cedera kemalangan babitkan dua motosikal

Beaufort: Seorang remaja maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Kota Klias Kecil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Amir Amiduin, 18, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.


Mangsa diberi rawatan awal sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.58 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan empat mangsa dan dua motosikal jenis Yamaha LC135 yang bertembung dengan Modenas CT100.

“Seorang daripada mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di tempat kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.42 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|