Kerjasama dengan Batik Air untuk penerbangan terus Sabah-Indonesia

Kerjasama dengan Batik Air untuk penerbangan terus Sabah-Indonesia

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedia bekerjasama dengan Batik Air untuk membuka laluan penerbangan terus dari negara jiran Indonesia ke Sabah.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, seiring dengan laluan penerbangan baharu itu nanti, kementerian berhasrat untuk membangunkan Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Beliau berkata, antara laluan penerbangan yang dibincangkan termasuk Pontianak dan Balik Papan di Kalimantan.

“Kita mempunyai destinasi pelancongan kesihatan berkualiti, dan khidmat penjagaan kesihatan bertaraf tinggi,” katanya pada pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri; Pengurus Besar, Muhammad Ariff Abdul Aziz dan beberapa kakitangan syarikat penerbangan terbabit di Glenmarie Kuala Lumpur, semalam.

Berikutan itu, Jafry berkata beliau yakin ia masa yang tepat untuk negeri Sabah menyasarkan destinasi pelancongan kesihatan dengan mempromosikan kemudahan terkini yang ditawarkan hospital khususnya kepada pasaran Indonesia.

Tambahnya, Sabah harus memanfaatkan sepenuhnya trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan setiap pelancong perubatan berpotensi berbelanja lebih tinggi berbanding pelancong biasa.

Seterusnya, menerusi rantaian nilai dan industri pelancongan kesihatan, ia pastinya akan membuka peluang kepada pelancong untuk menerokai Lokasi Pelancongan Berkonsepkan ‘Nature Healing’ yang ada di Sabah.

Ia berikutan negeri ini terkenal dengan keindahan alam semulajadi, flora dan fauna yang mampu memberi impak positif khususnya dalam proses penyembuhan.

Untuk itu, beliau berharap, laluan penerbangan terus itu dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat ekoran lokasi Sabah dan kemudahan akses dari segi laluan penerbangan antara faktor penting untuk menarik pengunjung daripada negara jiran datang ke negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|