Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha terima lawatan IPG Keningau

Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha terima lawatan IPG Keningau

Labuan: Seramai 25 pensyarah dan kakitangan Institut Perguruan Guru Kampus Keningau (IPGKK) Sabah mengadakan lawatan Penanda Aras ke Pusat Sumber Sekolah SMK Rancha-Rancha, di sini, baru-baru ini.

Pensyarah dan kakitangan terbabit adalah dari Jabatan Pembangunan Latihan dan Unit Pusat Sumber IPGKK.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Wan Azman Wan Awang berkata, lawatan penandaarasan IPG Kampus Keningau pada kali ini untuk mengenal pasti, mempelajari, mengubah suai dan melaksanakan amalan-amalan terbaik daripada Pusat Sumber Sekolah (PSS) Datin Seri Datuk Norsiah (DSDN) SMK Rancha-Rancha.

Wan Azman dan Dr Saidah Khadijah pada Majlis Menandatangani Program Membina Kerjasama dan Jalinan Bersama Antara SMK Rancha-Rancha dengan IPG Kampus Keningau.

Katanya, pemilihan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha adalah sangat tepat kerana ia mempunyai rekod dan pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan pusat sumber sekolah sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.

Ketua Jabatan Pembangunan Latihan IPGKK, Shamrin Surip pula berkata lawatan itu adalah untuk perkongsian pintar, menggerakkan sekolah serta institusi mengamalkan konsep pembelajaran setiap masa.

Pengawas Pusat Sumber Sekolah menerangkan sudut-sudut menarik di Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha-Rancha.

Katanya, dengan mempelajari daripada pihak lain, sesebuah institusi seperti sekolah akan dapat menyedari kelemahan dan kekurangan diri sendiri, seterusnya berupaya untuk melaksanakan penambahbaikan.

“Proses pembelajaran ini akan menentukan bahawa usaha penambahbaikan sentiasa dilakukan,” katanya.

Lawatan Penanda Aras pensyarah IPGKK ke Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha-Rancha, Labuan.

Ketibaan rombongan tersebut yang diketuai oleh Ketua Jabatan Agama Islam dan Moral IPGKK Kampus Keningau Sabah, Dr Saidah Khadijah Ahmad disambut oleh pentadbir sekolah, AJK Pusat Sumber serta Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Dalam ucapannya, Dr Saidah Khadijah berkata, melalui lawatan itu diharap IPGKK Sabah dapat membantu sekolah meningkatkan kepakaran dalam sesuatu proses kerja dan mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama di antara IPGKK dengan SMK Rancha-Rancha.

“Ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Kami akan mempelajari amalan-amalan yang lebih baik manakala SMK Rancha-Rancha akan lebih memahami tentang operasi dan prestasi sekolah sendiri,”katanya.

Dalam sesi lawatan itu, ahli rombongan ditayangkan video dan taklimat kejayaan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha sepanjang tahun 2020 hingga 2021 yang disampaikan oleh Claudius Upin Longsiong JR.

Majlis menandatangani sijil Program Membina Kerjasama dan Jalinan Bersama di antara SMK Rancha-Rancha dan IPGKK turut diadakan selepas perkongsian pengurusan pusat sumber sekolah di Bilik Mesyuarat Utama SMK Rancha-Rancha.

Peserta rombongan turut dibawa meninjau ke bilik-bilik khas PSS DSDN termasuk Studio Ranchas TV, Bilik NILAM Lounge, Perpustakaan Multimedia, Bilik Rakaman dan Tayangan serta Konti Ranchas FM.

Mereka diberi penerangan ringkas oleh Pengawas Pusat Sumber Sekolah yang bertindak sebagi duta SMK Rancha-Rancha.

Rata-rata peserta rombongan berasa sangat kagum terhadap pengurusan serta inovasi yang telah dibuat di PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.

Guru Perpustakaan dan Media Sekolah, Sapri Idris berkata, sudah tiba masanya jalinan yang lebih luas dilakukan oleh PSS DSDN SMK Rancha-Rancha bersama institusi pendidikan dalam dan luar negara.

“Kami mempuyai fasiliti serta kepakaran yang boleh diserap ke dalam pengurusan sumber.

“Sebagai hab transformasi minda komuniti, jalinan seperti ini sangat membantu SMK Rancha-Rancha mencapai objektif serta matlamat yang dihasratkan,” katanya.

Sapri yakin SMK Rancha-Rancha melalui pengurusan pusat sumber sekolah akan menjadi sebuah sekolah yang cemerlang di peringkat kebangsaan dengan memberi fokus kepada kecemerlangan akademik serta kemenjadian kemahiran pelajarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|