Sangkar Rasam pengerusi baharu PKR Sabah

Sangkar Rasam pengerusi baharu PKR Sabah

Kota Kinabalu: Datuk Sangkar Rasam yang juga Ketua Cabang Keningau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu.

Pelantikan itu dimaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi lawatan singkat beliau ke Kota Kinabalu semalam.

Anwar (tengah) pada pertemuan bersama Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah dalam lawatan singkat beliau ke Kota Kinabalu.

Setiausaha PH Sabah, Mustapha Sakmud berkata, pelantikan itu dibuat secara sebulat suara selepas sesi konsultansi oleh presiden dengan semua Ketua-Ketua Cabang yang hadir.

“Pelbagai cadangan diutarakan termasuk mengekalkan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH Pusat dengan itu memberi jaminan dan mengumumkan bahawa Datuk Christina Liew akan kekal sebagai Pengerusi PH Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, Presiden turut menekankan bahawa Pengerusi PH perlu dikekalkan kerana tidak mahu proses rundingan kerusi dan pemantapan jentera PH terjejas menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Semoga gandingan mantap Datuk Christina selaku Pengerusi PH Sabah, Awang Husaini Sahari sebagai Naib Presiden Pusat dan Datuk Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah diharap dapat memantapkan jentera PH Sabah bersama parti-parti komponen DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Amanah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|