Pemergian Dayang Mahani kehilangan besar Sabah – Bung Moktar

Pemergian Dayang Mahani kehilangan besar Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pemergian seorang lagi veteren politik, Datuk Dayang Mahani Ahmad Raffae disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam perjuangan politik di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menyifatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu bukan saja seorang tokoh politik yang berpengalaman malah turut menyumbang kepada aspek pembangunan dan kemajuan Sabah semasa beliau dilantik menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah mengakui amat mengenali rapat Allahyaharmah sebagai rakan seperjuangan dalam bidang politik bermula dari era Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sehingga UMNO mengembangkan sayapnya dan banyak ilmu politik yang dipelajarinya daripadanya.

“Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian Allahyrahmah, saya mewakili UMNO Sabah mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyaramah dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bung Moktar berkata, dalam arena politik, Allahyarhamah yang dikenali sebagai pemimpin wanita yang lantang bersuara dan mereka pernah berjuang bersama dalam USNO yang diketuai oleh Allahyarham Tun Mustapa Datu Harun sebagai Presiden ketika itu.

Allahyarhamah dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.30 malam Jumaat lalu ketika sedang mendapatkan rawatan dan memerlukan bekalan darah A di Hospital Gleneagels Kota Kinabalu sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital yang sama.

Untuk rekod, Dayang Mahani pertama kali mewakili DUN Lumadan pada 1986 atas tiket parti USNO selepas berjaya menewaskan Rashid Gador daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan kelebihan majoriti sebanyak 3,737.

Beliau yang juga anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-2, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pengiran Ahmad Raffae itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Lumadan selama tiga penggal sehingga tahun 1999 sebelum digantikan oleh Datuk Surinam Sadikun daripada UMNO.

Dayang Mahani yang meninggal pada usia 71 tahun pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, selain pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Sabah pada 2000 hingga 2004.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|