Kota Kinabalu : Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) yang ditubuhkan dan dilaksanakan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu berjaya menurunkan kadar jenayah indeks sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pelaksanaan OBCJ adalah satu pendekatan terbaik untuk mencegah jenayah demi keselamatan awam di sekitar daerah ini.
“Kami juga mahu masyarakat sedar dengan kesungguhan dan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menurunkan kadar jenayah dan supaya masyarakat terasa selamat menerusi pelaksanaan OCBJ.
“Hasil daripada pelaksanaan OCBJ ini kita berjaya membuat pelbagai tangkapan termasuk dua daripadanya adalah kumpulan yang dikehendaki kerana aktif melakukan kes pecah rumah di kawasan Luyang pada Mac dan Mei lalu selain kes kesalahan memiliki dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan OCBJ di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Katanya lagi, untuk memastikan operasi yang dilaksanakan terus berkesan, pihaknya sentiasa melakukan ‘post mortem’ untuk mengkaji serta memperbaiki operasi dari masa ke masa.
“Kita dari semasa ke semasa mengkaji setiap ruang yang perlu dibaiki untuk memantapkan lagi OBCJ.
“Contohnya waktu operasi yang sebelum ini bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi dan apabila modus operandi penjenayah berubah kita tukar kepada dua syif termasuk jam 4 pagi hingga 8 pagi.
“Ekoran daripada itu kita berjaya menurunkan kes jenayah dengan menukar waktu di semua kawasan pentadbiran dan kita bukan saja menumpukan di kawasan taman-taman perumahan terutama di kawasan perumahan mewah atau elit semata-mata tetapi juga pemantauan di waktu siang bagi mengesan kenderaan yang disyaki atau dicurigai untuk tujuan jenayah, ” katanya.
Terdahulu, Mohd Zaidi melakukan pemantauan di Manggatal, Inanam dan Luyang.
-Deasoka