Stor haram simpan 15,000 liter diesel bersubsidi diserbu

Stor haram simpan 15,000 liter diesel bersubsidi diserbu

Beluran: Sebuah stor dijadikan lokasi penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kampung Iran, di sini diserbu petang semalam.

Hasil serbuan 2.33 petang itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menemui 15,000 liter diesel di dalam lori tangki dan tong drum.

Lori dan tong drum yang ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dijalankan selama tiga hari oleh KPDNHEP Sabah.

Katanya, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor dan pemandu lori turut ditahan dan diambil keterangan.

“Berdasarkan keterangan awal, penjaga stor dan pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, minyak berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu juga, pasukan penguat kuasa turut menemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu dua lori, pam electronik dan hos dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM159,500.

Katanya, semua barangan berkenaan dirampas dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|