Sangka jiran ‘gegarkan’ rumah, rupanya gempa bumi

Sangka jiran ‘gegarkan’ rumah, rupanya gempa bumi

Beluran: “Pada mulanya, saya ingatkan jiran sengaja menggoyangkan rumah sebelum mereka memaklumkan berlaku gegaran,” kata pengawal keselamatan Follytro Eduing, 33.

Follytro yang juga penduduk Kampung Kubambangan, Paitan berkata, sebelum gegaran itu, dia bersama isteri dan anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

“Tiba-tiba gegaran berlaku hanya beberapa saat… saya ingatkan jiran datang berkunjung ke rumah dan main-main bagi gegar rumah.

“Selepas itu, saya lihat WhatsApp group keluarga di telefon bimbit memberitahu berlaku gegaran akibat gempa bumi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga kemudian berjaga-jaga sehingga kira-kira jam 10 malam dan tiada lagi gegaran.

Seorang lagi penduduk di Kampung Binanjar Baru, Paitan, Johnnetry Pingut berkata, kejadian gegaran itu dirasai selepas terdengar pinggan mangku di dapue berbunyi lalu segera memeriksa.

“Pada masa yang sama, rumah tiba-tiba bergoyang… dalam hati saya mungkin goyang biasa.

“Saya kemudian bertanya kepada rakan di kampung melalui media sosial dan mereka memaklumkan turut merasai gegaran berkenaan,” katanya.

Dia bersyukur tiada perkara tidak diingini berlaku termasuk harta benda miliknya.

Deasoka melaporkan, gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Beluran, jam 8.39 malam dan gegaran mungkin dirasai di Beluran dan sekiranya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|