Bekas pengarah Labuan FSA berdepan empat pertuduhan rasuah

Bekas pengarah Labuan FSA berdepan empat pertuduhan rasuah

Labuan: Seorang bekas Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Luar Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen Labuan atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM15,520 yang didakwa berlaku pada 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Yon Zahimah Ibrahim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kes dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen Labuan

Menurut ringkasan kes, tertuduh disyaki menggunakan kedudukannya untuk melantik dan meluluskan pembayaran sebuah syarikat yang mana suaminya mempunyai kepentingan bagi beberapa majlis yang dianjurkan Labuan FSA.

Tertuduh didakwa melakukan perkara itu di Pejabat Labuan FSA pada Oktober 2018, Mei 2019 dan Disember 2019 masing-masing melibatkan wang bernilai RM810, RM10,000, RM1,800 dan RM2,910 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,520.

Tertuduh didakwa terlibat dalam proses pelantikan dan meminitkan kelulusan untuk pembayaran terhadap invois serta sebut harga yang dihantar oleh syarikat yang berkaitan.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh memohon supaya dibicarakan dan dikenakan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 bersama seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM Labuan setiap dua bulan sekali, manakala pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Pengurusan kes tertuduh ditetapkan pada 26 Mei depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|