Masalah jalan tikus berterusan jika pembinaan CIQ ditangguh – Hajiji

Masalah jalan tikus berterusan jika pembinaan CIQ ditangguh – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan kemasukan warga asing melalui jalan tikus jika Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, Kalabakan, ditangguhkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sehubungan itu berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Pusat untuk mengkaji semula keputusan menangguhkan projek pembinaan berkenaan seperti dilaporkan sebelum ini.

Hajiji bersama jemaah Kabinet negeri pada Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ) Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Katanya, kemudahan di pintu masuk baharu sempadan Sabah – Kalimantan, Indonesia itu perlu disegerakan bagi mengatasi kemasukan warga asing secara haram melalui jalan tikus.

Jelasnya, ketiadaan pintu masuk sah melalui jalan darat menghubungkan Sabah – Kalimantan ketika ini menimbulkan ancaman kemasukan warga asing, khususnya dari wilayah Kalimantan secara haram yang sukar dikawal.

“Kita akan bincang lagi dengan kerajaan persekutuan kerana ini adalah projek yang penting dan tidak boleh ditangguhkan pelaksanaannya.

“Ini kerana kita bersempadan dengan Kalimantan, jadi kemudahan CIQ itu amat perlu sebagai laluan menghubungkan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan genap setahun pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah susulan kerajaan negeri berikutan keputusan kerajaan Pusat menangguhkan projek CIQ bernilai RM600 juta itu yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya, jika projek itu lambat dilaksanakan, Sabah akan terus berdepan masalah kemasukan warga asing secara haram berikutan tiada laluan sah di sepanjang sempadan darat Sabah – Kalimantan.

“Kalau projek ini lambat dibuat, mereka (warga asing) akan terus masuk ke Sabah melalui jalan tikus dan susah untuk kita mengawalnya.

“Jadi, sebab itu kita minta supaya kerajaan persekutuan memberi keutamaan terhadap projek ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut menyuarakan perkara yang sama, meminta kerajaan Pusat menarik balik keputusan menangguhkan projek CIQ berkenaan.

Katanya, keputusan itu tidak adil kepada rakyat Sabah yang memerlukan pemangkin ekonomi bagi membangunkan kawasan pantai timur Sabah.

Lebih mendukacitakan, katanya alasan penangguhan itu iaitu tiada peruntukan dibuat tanpa mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat Sabah sedangkan projek lain di Semenanjung seperti Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM20 bilion tetap diteruskan.

Bung Moktar berkata, pembinaan CIQ di Serudong, Kalabakan itu juga penting sejajar dengan pembukaan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur bagi memastikan Sabah dapat mengambil peluang daripada potensi ekonomi yang dijana di wilayah berkenaan.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman di Dewan Rakyat memaklumkan projek CIQ berkenaan ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|