Rundingan pemberian khas Sabah di peringkat akhir – Hajiji

Rundingan pemberian khas Sabah di peringkat akhir – Hajiji

Kota Kinabalu: Rundingan berkaitan kajian semula pemberian khas kerajaan persekutuan kepada Sabah sedang dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perundingan itu berdasarkan peruntukan yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

“Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus membantu meningkatkan hasil negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan pencapaian setahun pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menggariskan kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak yang dinyatakan dalam seksyen 1 dan subseksyen (1) seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata peningkatan bayaran pemberian khas kerajaan Pusat penting untuk menambah hasil negeri selain kutipan hasil melalui strategi percukaian.

Katanya, tahun lalu Sabah mengutip RM5.449 bilion hasil iaitu jumlah tertinggi dicatat sejak Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyasarkan pertambahan hasil negeri menerusi penerokaan sumber baharu, inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.

“Sejajar dengan usaha menggalakkan pembabitan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor ekonomi, kerajaan juga akan menimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat.

“Matlamat utama adalah untuk
memastikan semua badan dan syarikat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi. Bagi 2021, kerajaan negeri menerima RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan GLC, meningkat 12.9 peratus berbanding 2020,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata hasil kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha kerajaan negeri melaksanakan Halatuju SMJ 2021-2025 sudah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian signifikan menerusi 500 inisiatif yang digariskan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|