PBS tidak melencong ke kiri, ke kanan – Jahid

PBS tidak melencong ke kiri, ke kanan – Jahid

Pitas: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim menegaskan bahawa parti itu mempunyai matlamatnya yang jelas, tidak melencong ke kiri atau ke kanan.

Beliau sebaliknya berkata, PBS sentiasa menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamat yang diperjuangkan.

Jahid ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Bengkoka Kali Ke-36 dan 37, di Dewan Kampung Pias Kanibongan, Bengkoka.

“PBS merupakan parti yang boleh rakyat bergantung harap kerana kita (PBS) sejak dahulu hingga kini tetap konsisten dari segi matlamat perjuangannya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Bengkoka Kali Ke-36 dan 37, di Dewan Kampung Pias Kanibongan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Exco Pemuda Pusat, Christoper Mandut; Ketua Exco Pergerakan Wanita Pusat, Datin Malianah Ugau; Ketua Bahagian Pitas, Awang Okik; Ketua Bahagian Kadamaian, Demis Rumanti dan Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Ketua Bahagian Bengkoka, Masikah Rumunji.

Katanya, PBS tidak pernah jemu dalam usaha menuntut perkara yang sepatutnya menjadi hak rakyat Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jahid berkata, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 yang telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini bukti perjuangan parti selama ini dalam usaha mengembalikan kedaulatan dan hak Sabah.

Katanya, keputusan itu juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah kita yang seterusnya kini adalah bagi memastikan bahawa janji MA63 itu akan benar-benar dipenuhi dan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Jahid yang Ketua PBS Bahagian Tamparuli turut berpesan kepada seluruh kepimpinan PBS kawasan Bengkoka agar tidak berputus asa atau berasa kecewa atas kekalahan parti itu pada Piluhan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang lalu.

“Sebaliknya sematkan dalam hati, bahawa anda telah mewakili sebuah parti yang berintegriti, berkredibiliti, parti yang telah memperjuangkan secara konsisten hak-hak rakyat negeri Sabah tanpa putus selama 37 tahun,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|