Labuan: Seramai 16 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau, di sini, berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu sempena sambutan Jubli Perak sekolah berkenaan pada 8 dan 9 Jun lalu.
Penasihat pendakian berkenaan, Julaily Simon berkata program yang dikenali sebagai Project Possible Kinabalu 2022 itu disertai guru-guru, bekas pelajar dan ahli keluarga mereka.
Katanya, ia adalah program pertama sempena Sambutan Jubli Perak SMK Lajau yang memasuki usia 25 tahun pada tahun ini.
Program itu juga katanya bagi mengeratkan kerjasama berpasukan selain melihat keindahan gunung dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, ketua pasukan Project Possible Kinabalu 2022, Mohd Putra Yassin, berkata mereka menjalani latihan selama dua hingga tiga bulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu.
Katanya, program itu dirancang sejak tiga tahun lalu namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19.
Mohd Putra berkata mereka memulakan pendakian dari Timpohon Gate, Taman Kinabalu di Kundasang pada jam 8.30 pagi dan tiba di Panalaban, berhampiran puncak Kinabalu pada jam 4.30 petang, 8 Jun lalu.
“Pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu bermula seawal jam 2 pagi dan tiba di puncak kira-kira jam 5.30 hingga 7 pagi pada 9 Jun 2022.
“Antara cabaran yang dilalui adalah keupayaan untuk mengekalkan stamina berikutan paras oksigen yang semakin berkurangan terutama ketika ketinggian melepasi 3,000 meter dari aras laut.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan pada waktu subuh juga menyebabkan peserta pendakian terpisah dan terpaksa melalui jalan tangga berbatu yang licin ketika mendaki dan menuruni puncak.
“Namun demikian, alhamdulillah akhirnya semua cabaran tersebut berjaya diatasi berkat doa dan semangat, serta sokongan rakan-rakan, pendaki lain dan malim gunung yang sentiasa membantu,” katanya.
Bagi salah seorang guru yang juga bekas pelajar SMK Lajau ambilan pertama tahun 1984, Rafizi Yussof beliau mengakui pendakian di Gunung Kinabalu tidak kurang mencabar.
“Namun, berkat doa dan kerjasama sepasukan dan demi mengenang jasa SMK Lajau selama 25 tahun dalam arus pendidikan terutama di Wilayah Persekutuan Labuan akhirnya pasukan Project Possible Kinabalu 2022 berjaya jua,” kata beliau yang kini menjadi tenaga pengajar di SMK Lajau.
Dalam pada itu, Julaily yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SMK Lajau berterima kasih kepada Pengetua SMK Lajau, Siti Aminah Zakaria dan Jawatankuasa Persatuan Alumni SMK Lajau serta semua pihak terlibat yang sentiasa memberikan dorongan, sumbangan dan semangat kepada pasukan berkenaan.
-Deasoka