DBKK kukuhkan kerjasama bersama media

DBKK kukuhkan kerjasama bersama media

Kota Kinabalu: Perlawanan persahabatan bola sepak di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) akan menjadi landasan penting mengukuhkan lagi kerjasama dua pihak.

Perlawanan di Stadium Likas malam tadi berkeputusan 10-2 yang dimenangi DBKK itu diadakan hasil inisiatif kedua pihak untuk merapatkan lagi silaturahim dari semasa ke semasa.

Pasukan media (SJA) tampil berjersi putih dalam pertemuan persahabatan bola sepak dengan pasukan DBKK di Stadium Likas, malam tadi.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, tujuan utama perlawanan persahabatan itu diadakan adalah untuk ramah mesra di antara DBKK dan petugas media.

Katanya, DBKK dan media sememangnya sentiasa bekerjasama dalam pelbagai aspek dan ia dapat dimantapkan lagi dengan kesefahaman serta hubungan baik menerusi sukan seperti bola sepak.

Noorliza menyampaikan cenderahati kepada Muguntar sempena perlawanan persahabatan bola sepak DBKK bertemu SJA di Stadium Likas.

“Ia sememangnya sudah menjadi tradisi setiap tahun penganjuran acara seperti hari ini. Namun ia terhenti sejak dua tahun lalu berikutan penularan Covid-19.

“Hari ini, kita teruskan semula acara bersama media dan ia tidak terhenti di sini, malah selepas ini, kita juga akan mengadakan perlawanan persahabatan boling dan jamuan bersama dengan rakan-rakan media,” katanya.

Pemain SJA dan DBKK yang menyertai perlawanan persahabatan bola sepak di Stadium Likas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Noorliza berkata, tradisi itu akan diteruskan kerana ia membantu DBKK dan media untuk berinteraksi dengan lebih rapat dan mesra.

Sementara itu, Presiden SJA, Muguntar Vanar berkata, matlamat penganjuran perlawanan persahabatan itu adalah untuk memupuk dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia bertujuan untuk mendidik semua yang terlibat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan penyertaan aktif dalam bidang sukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|