Ramai tak sedar kewujudan jenama coklat premium tempatan

Ramai tak sedar kewujudan jenama coklat premium tempatan

Kota Kinabalu: Jenama seakan-akan dari luar negara tetapi ramai tidak sedar ia sebenarnya coklat premium keluaran tempatan yang dipasarkan di pasar raya seluruh negara.

Ia sekali gus menolak dakwaan bahawa produk berasaskan koko terutama coklat jenis premium yang dihasilkan pengusaha tempatan tidak kelihatan di pasar-pasar raya negara ini.

Datuk Willie Mongin ketika temubual media.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Datuk Willie Mongin berkata banyak produk koko termasuk coklat premium dipasarkan di pasar raya seluruh negara namun tidak disedari kerana jenamanya mungkin seperti dari luar negara.

“Sebenarnya tidak benar kita tiada produk koko di pasar raya. Coklat jenama Beryl’s sebenarnya adalah produk tempatan.

Willie merasmikan Seminar Kebangsaan Koko Malaysia di Kota Kinabalu.

“Jenamanya seperti dari Eropah atau Amerika tetapi hampir semua jenama coklat yang kita ada berada di dalam pasar raya.

“Malah kalau kita lihat pada label ada yang dikeluarkan dari Serdang, Bangi dan kalau kita pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kebanyakkan coklat adalah dikeluarkan oleh pengusaha tempatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Koko Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Ravi Muthayah; Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Majid dan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Dr Ramle Kasin.

Willie berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas coklat premium keluaran tempatan seolah-olah tidak kelihatan di pasar raya berbanding jenama dari luar negara.

Katanya, perlu ada kesedaran daripada semua pihak mengenai mutu dan keunggulan coklat yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.

“Kita lihat kesedaran belum mencapai tahap yang memberangsangkan kerana ramai antara kita mempunyai pemikiran yang tidak kenal akan kebaikan coklat.

“Walhal bahan mentah itu banyak yang kita eksport ke luar negara untuk dihasilkan sebagai coklat premium dan apabila mereka jual dengan harga yang tinggi kepada kita, kita beli dan kita agung-agungkan coklat dari luar walaupun bahan mentah itu dari kita,” katanya.

Sehubungan itu, Willie meminta kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama memperkenalkan produk koko sama ada hiliran, pertengahan atau huluan supaya industri koko negara mampu berdaya saing setanding dengan luar negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|