SAFA sokong Hamidin terus terajui FAM

SAFA sokong Hamidin terus terajui FAM

Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), mengambil pendirian menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin untuk terus menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara itu dinyatakan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menyatakan pendirian SAFA mengenai kedudukan Hamidin yang didesak pihak tertentu supaya mengundurkan diri.

Bung Moktar menegaskan Hamidin adalah individu paling layak untuk menduduki kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara ketika ini.

“Kegagalan skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2021 di Singapura baru-baru ini tidak wajar dijadikan alasan untuk mendesak Hamidin meletakkan jawatan.

“Jika semua pihak meneliti dan menilai semula apa yang dilakukan Presiden FAM itu sepanjang beliau mula dipilih pada 14 Julai 2018, kredebiliti Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Ini kerana di peringkat antarabangsa, beliau mendapat pengikhtirafan dengan dipilih sebagai Naib presiden AFF pada 2019 sebelum melepaskan jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Hamidin melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi fokus sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023 selepas terpilih menganggotau jawatankuasa berkenaan.

Bung Moktar berkata, kehadiran Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim ketika pelancaran Peta Hala Tuju FAM F:30 di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018 mencerminkan hubungan antarabangsa Hamidin yang cukup baik dan diperlukan dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau meletakkan jawatan sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Brad Maloney berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik Piala Asia B-23 2022.

“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selain prestasi terbaik meraih kemenangan bergaya ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023,” katanya.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul keluhan yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tidak memahami bola sepak memandangkan beliau seorang berpengalaman luas 30 tahun dalam sukan berkenaan.

“Justeru, bagi saya, desakan supaya Hamidin mengundur diri sebagai Presiden FAM adalah sesuatu yang tidak wajar sebaliknya perlu terus diberi mandat mengetuai badan bola sepak negara itu,” katanya.

Bung Moktar berkata sebarang keputusan Hamidin untuk mengundur diri tidak akan menyelesaikan masalah bola sepak negara.

“Siapa pengganti segera yang sesuai? Peminat perlu fikirkan semua itu, jangan hanya terlalu ikut perasaan gara-gara prestasi kurang baik pada Piala Suzuki AFF 2020 tempah hari,” katanya.

Bung Moktar berharap peminat bola sepak negara sentiasa memandang ke hadapan di samping memberi sokongan terhadap segala usaha yang dilakukan FAM dan Hamidin dalam memacu bola sepak negara dan skuad kebangsaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|