Benarkan teksi bermeter beroperasi di lapangan terbang

Benarkan teksi bermeter beroperasi di lapangan terbang

Sandakan: Persatuan Teksi Seluruh Sabah memohon Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) supaya membenarkan teksi bermeter beroperasi di semua lapangan terbang di negeri ini.

Pengerusinya, Hiew Su Vun berkata, impak penularan wabak Covid-19 cukup membuatkan ramai rakyat di negara ini terjejas pendapatan.

Hiew Su Vun

Katanya, ia termasuklah golongan pemandu teksi dan limo di semua lapangan terbang di Sabah.

“Ini kerana pemandu teksi hanya berharap kepada kehadiran penumpang dalam sesuatu kawasan sama ada tumpuan orang ramai dan sebagainya.

“Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), jumlah penumpang ternyata berkurangan secara mendadak dan kawasan tumpuan pun tidak lagi menjanjikan pendapatan tetap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hiew berkata, pihak Persatuan Teksi Seluruh Sabah berharap LPKP Sabah akan dapat mempertimbangkan permintaan mereka kali ini.

“Memandangkan pemandu “e-hailing” boleh mengambil penumpang di lapangan terbang, maka kehadiran teksi bermeter akan dapat bantu memantapkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang.

“Kami merayu kepada LPKP Sabah untuk membenarkan pemandu teksi bermeter untuk beroperasi di lapangan terbang dan pada masa yang sama pengusaha limo lapangan terbang juga dibenarkan mengambil penumpang di tempat lain,” katanya.

Menurut Hiew, ini akan mewujudkan satu situasi menang-menang kepada pemandu teksi bermeter dan pengusaha limo lapangan terbang yang turut berdepan dengan masalah penumpang berkurangan walaupun di kawasan tumpuan seperti lapangan terbang.

“Sekiranya LPKP Sabah dapat mempertimbangkan permintaan ini, pihak kami turut memohon jasa baik serta kerjasama pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk menyediakan tempat menunggu penumpang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|