PPM gagalkan cubaan seludup minuman keras

PPM gagalkan cubaan seludup minuman keras

Labuan: Permintaan terhadap minuman keras yang dijangka meningkat menjelang perayaan tahun baharu cina tidak lama lagi dipercayai antara punca berlaku cubaan penyeludupan minuman keras.

Bagaimanapun, usaha Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan pencegahan dan pemantauan berterusan sekali lagi berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar barangan berkenaan tanpa cukai, semalam.


Minuman keras tidak bercukai dirampas di kawasan jeti awam Tanjung Pagar, Labuan. Pix Ihsan PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WIlayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya berjaya merampas minuman keras tidak bercukai di kawasan jeti awam Tanjung Pagar, di sini.

Katanya, ia adalah hasil pemerhatian selama dua jam terhadap barang mencurigakan yang dibungkus dengan plastik hitam yang dibiarkan di kawasan jeti awam berkenaan.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati bungkusan berkenaan berisi minuman keras tidak bercukai dipercayai diseludup.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,400.77 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Saidul berkata, barang rampasan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sipitang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Saidul berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|