Penduduk Pulau Berhala minta bina sekolah

Penduduk Pulau Berhala minta bina sekolah

Sandakan: “Kami cuma mahu sekolah didirikan di pulau ini,” itu permintaan penduduk Pulau Berhala, di sini, yang dahagakan kemudahan sekolah dan infrastruktur asas lain sejak sekian lama.

Tinjauan mendapati, rata-rata penduduk tidak dapat menikmati kemudahan asas seperti di tempat lain termasuk bekalan elektrik dan air bersih, selain sekolah untuk pendidikan anak-anak.

Saudi ketika ditemui di Kampung Pulau Berhala.

Penduduk Pulau Berhala, Saudi Suadi, 38, berkata sekolah adalah perkara utama yang diperlukan penduduk di pulau berkenaan bagi memudahkan anak-anak mereka menerima pendidikan.

“Kami sudah suarakan perkara ini kepada wakil-wakil rakyat di kawasan ini dan walaupun mereka ada juga melawat perkampungan ini tetapi sehingga kini belum ada sekolahpun dibina di pulau ini.

“Bagi kami, kemudahan sekolah sangat penting supaya anak-anak kami tidak perlu lagi meredah laut awal pagi dan bergadai nyawa demi menuntut ilmu jika sekolah dibina di pulau ini sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Saudi menjelaskan, ketika ini anak-anak warga tempatan terpaksa ke bandar Sandakan dengan menaiki bot selama kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

“Setiap hari saya akan siapkan anak-anak ke sekolah seawal jam 5 pagi dan keluar dari pulau untuk menghantar mereka ke sekolah.

“Bagi kanak-kanak yang tiada dokumen, mereka hanya bersekolah di ‘kem askar’ yang ada di dalam pulau ini,” katanya.

Beliau turut mengakui, perbelanjaan mereka sekeluarga secara purata setiap bulan mencecah sehingga RM1,000 sedangkan pendapatan sebagai nelayan tidak menentu mengikut keadaan cuaca.

“Sekiranya ada sekolah didirikan di kampung ini, tidak perlulah anak-anak dihantar ke Sandakan yang memerlukan perbelanjaan tambang yang tinggi iaitu untuk berulang alik saja mencecah RM4 setiap seorang.

“Saya pula ada tiga anak yang bersekolah dan sudah tentu perbelanjaan mencecah lebih RM20 setiap hari ketika sesi persekolahan bermula,” katanya.

Sehubungan itu, Saudi berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan melihat kemudahan yang diperlukan penduduk di pulau ini terutama untuk generasi muda supaya mereka tidak ketinggalan dari segi pembangunan dan pendidikan.

“Sebagai anak jati di kampung ini, sejak dulu lagi kemudahan tidak dapat dirasai penduduk di kampung ini dan kami juga terpaksa ke bandar Sandakan untuk mendapatkan barangan keperluan terutamanya air minuman bersih.

“Sebenarnya kos kami tinggal di pulau ini adalah lebih tinggi kerana terpaksa berulang alik menggunakan bot bagi mendapatkan barang keperluan harian selain menghantar anak ke sekolah di bandar Sandakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|