30 Pemain hadiri sesi pemilihan Piala Presiden Sabah FC di Labuan

30 Pemain hadiri sesi pemilihan Piala Presiden Sabah FC di Labuan

Labuan: Seramai 30 pemain bola sepak dari Wilayah Persekutuan Labuan menghadiri sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC (Bawah 21) yang diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, baru-baru ini.

Sesi pemilihan Zon Labuan itu dikendalikan Ketua Jurulatih Piala Presiden Sabah FC, Jelius Ating yang dibantu oleh penolong jurulatih, Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol, Jasrin Jabidin dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) peringkat daerah serta Scouting Team, Matlan Marjan.

Sophian (lima kanan) dan Mohd Raiful (lima kiri) bersama Jelius (empat kiri), Burhan (tiga kiri) dan Matlan (enam kiri) pada sesi pemilihan pemain di Labuan.

Jelius berkata pada peringkat awal, sesi latihan itu hanya melibatkan daerah di Sabah iaitu Zon Tawau, Sandakan Beaufort, Keningau, Ranau, Kudat dan Kota Kinabalu yang sepatutnya berakhir pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya atas permintaan Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Said supaya sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC turut diperluaskan ke Labuan, pihaknya bersetuju mengadakan sesi pemilihan terakhir di Zon Labuan.

Katanya, ia bagi mengenal pasti bakat anak muda Labuan bawah 21 tahun yang berpotensi untuk diserapkan ke sesi latihan pemilihan awal Skuad Piala Presiden Sabah FC.

Beliau berkata, seramai 60 pemain yang layak akan dipilih untuk menyertai sesi pra pemilihan yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada minggu depan.

“Mereka yang layak untuk menghadiri sesi pemilihan itu bukan sahaja akan bersaing sesama sendiri tetapi juga terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada (Bawah 19 tahun) untuk mendapat tempat dan hanya 25 pemain sahaja akan dipilih untuk mewakili Skuad Bola Sepak Piala Presiden Sabah FC musim 2022,” katanya.

Sesi pemilihan Zon Labuan berjaya diadakan hasil usaha LAFA dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan.

Turut hadir pada sesi pemilihan itu ialah Presiden LAFA, Sophian Said dan Penolong Pengarah JBS Labuan, Mohd Raiful Madarun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|