Sabah tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu – Hajiji

Sabah tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pendirian itu sejajar dengan kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri berdaulat dalam persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini supaya bertenang serta menyerahkan kepada pasukan undang-undang kerajaan negeri dan Pusat untuk menangani perkara itu.

“Ia adalah tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam persekutuan Malaysia tidak seharusnya sama sekali dipersoalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan mengenai penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa yang mengarahkan kerajaan Malaysia membayar kepada waris Sultan Sulu sebanyak RM62.59 bilion.

Anugerah itu yang diputuskan pada perbicaraan Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis 28 Februari lalu dibuat atas dakwaan pelanggaran perjanjian mengenai pajakan sebahaian Borneo Utara (kini Sabah) di antara Sultan Sulu dengan wakil Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, Baron de Overbeck dan Alfred Dent pada 1878.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia seperti dinyatakan dalam kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara kelmarin, menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dibuat di Sepanyol dan Perancis.

Malaysia juga menegaskan ia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat selain menyatakan perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara selain Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kerajaan Malaysia juga menekankan bahawa identiti penuntut (waris Sultan Sulu) diragui dan belum disahkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|