Sabah menang besar hasil hatrik Amri Yahyah

Kota Kinabalu: Skuad Sang Badak bangkit semula dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Lebih membanggakan, penyerang berpengalaman Sabah FC, Amri Yahyah mencipta hatrik dengan meledak tiga gol, manakala satu lagi gol disumbangkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu.

Keempat-empat gol skuad Sang Badak itu dihasilkan pada babak kedua perlawanan dengan Amri berjaya menjaringkan gol pada minit ke-51, 61 dan 71, manakala Taesu pada minit ke-56.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Sabah FC kini mengumpul 12 mata di tangga kedua carta liga daripada enam perlawanan hasil empat kemenangan dan tewas dua kali.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, ketika mengulas pencapaian cemerlang Amri dalam aksi malam tadi, menyifatkan tiada pemain lain setakat ini mampu menyaingi kehebatan hatriknya.

“Amri seorang pemain yang berpengalaman dan bermain dengan cukup baik walaupun pada usia yang mencecah 42 tahun.

“Rekodnya sebagai pemain tertua yang mencipta hatrik dalam saingan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertahan begitu lama dan saya percaya tiada pemain lain mampu mengatasinya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau juga yakin kemampuan Amri mengekalkan pencapaiannya pada usia sedemikian menjadi model terbaik kepada pemain muda Sabah untuk bermain sepertinya.

Kim Swee turut menyifatkan kemenangan pasukannya malam tadi adalah hasil disiplin yang baik ditunjukkan pemain skuad Sang Badak sepanjang perlawanan.

“Apa yang penting semua pemain memainkan peranan masing-masing dan mengikut arahan. Walaupun separuh masa pertama tidak mencipta gol tapi kita berjaya mencipta peluang dan tidak membenarkan Kedah bermain seperti kebiasaan mereka.

“Momentum permainan kemudian diteruskan pada separuh masa kedua dan apabila kita mendapat satu gol ia beri tekanan kepada Kedah. Seterusnya apabila berjaya menjaringkan gol kedua, ketiga dan keempat, ia tutup peluang Kedah,” katanya.

Beliau turut berharap pencapaian yang baik itu bukan saja ditunjukkan pada aksi malam tadi, malah lebih penting dapat diteruskan dalam semua perlawanan akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|