Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal ditahan dan 71 saman dikeluarkan dalam operasi Op Samseng Jalan yang dijalankan di Jalan UMS Kota Kinabalu, di sini, lewat malam Sabtu lalu.
Operasi yang berakhir jam 4 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang diketuai Deputis Superintendan Jo Ak Hang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tujuan operasi “Op Samseng Jalanan” dijalankan adalah bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan.
Katanya, kegiatan berkenaan perlu diambil tindakan segera kerana memandu kenderaan atau menunggang motosikal secara melulu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Dalam operasi kali ini, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun berjaya ditahan di stesen minyak Shell berhampiran bangunan Innoprise selepas dikesan menunggang secara melulu.
“Suspek melakukan aksi “wheelie” serta menunggang motosikal dengan kelajuan yang tinggi sambil menduga kelajuan dan bersaing dengan dua lagi motosikal lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, malah sebaik menyedari kehadiran polis, penunggang terbabit bertindak melawan arus menghala ke stesen minyak Shell berkenaan sebelum berjaya ditahan polis.
Katanya; suspek terus dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam masa sama, dua motosikal turut disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dipercayai mengubah suai struktur asal motosikal berkenaan.
“Sebanyak 14 keping saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain antaranya, ubahsuai ekzos, aksesori tidak sempurna, tiada perlindungan insuran, tiada lesen memandu, tiada cermin pandang belakang.
“Turut dikesan kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada nombor pendaftaran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, sebanyak 57 keping saman turut dikeluarkan atas kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas.
Katanya, bagi kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahayakan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000.
“Selain itu, pesalah juga hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari lima tahun.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda RM10.000 hingga RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh sepuluh 10 tahun,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, Op Samseng Jalanan itu akan dijalankan secara berterusan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini.
-Deasoka