Sabah giatkan semula promosi tarik pelancong antarabangsa

Sabah giatkan semula promosi tarik pelancong antarabangsa

Kota Kinabalu: Sabah akan menggiatkan semula promosi pelancongan negeri ini di luar negara berikutan pembukaan sempadan mulai 1 April depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata kementeriannya bersama agensi yang berkaitan di neger ini akan melaksanakan usaha itu.

Katanya, usaha itu bagi menarik semula kedatangan pelancong antarabangsa bagi merancakkan industri pelancongan dan meningkatkan pulangannya kepada ekonomi negeri.

“Kementerian bersama semua agensi berkaitan akan terus mempergiat promosi dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di peringkat antarabangsa.

“Kita juga akan terus memberi kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam menjayakan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau meminta pengusaha industri pelancongan di Sabah membuat persediaan awal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan proses kemasukan pelancong luar berjalan lancar.

Beliau berkata, setiap pengusaha perlu mengutamakan pematuhan SOP dalam menerima ketibaan pelancong luar negara sejajar langkah yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Jafry menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pembukaan sempadan dan fasa peralihan ke endemik Covid-19 bermula 1 April depan sebagai berita gembira dalam industri pelancongan di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|