Lelaki disyaki curi kabel di pencawang elektrik SESB dicekup

Lelaki disyaki curi kabel di pencawang elektrik SESB dicekup

Sandakan: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di kawasan pencawang elektrik Sungai Obar Thien Brothers, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan Polis Bantuan SESB jam 10.54 pagi ketika sedang membuka kabel di kawasan pencawang berkenaan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Idris Mohd Noor berkata, pasukan Polis Bantuan SESB telah melakukan intipan terhadap kegiatan yang mencurigakan itu selama dua hari sejak 5 Mac lalu sebelum suspek diberkas.

“Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Selain itu, turut dirampas peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel elektrik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak SESB merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama dan bantuan orang ramai sehingga tertangkapnya suspek terbabit.

“Orang ramai boleh menghubungi SESB Careline melalui talian 15454 atau 088515000 atau WhatsApp di nombor 0198525427 untuk sebarang aduan mengenai kegiatan yang mencurigakan di pepasangan milik SESB.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|