Bomba tawar khidmat bersih rumah dilitupi tumbuhan menjalar

Bomba tawar khidmat bersih rumah dilitupi tumbuhan menjalar

Kinabatangan: Bimbang dengan ancaman haiwan berbisa terhadap penghuni sebuah rumah di sini, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menawarkan khidmat untuk membersihkan rumah yang dilitupi tumbuhan menjalar itu.

Rumah yang terletak di Batu 8, Jalan Bukit Garam itu terpaksa dibantu untuk dibersihkan berikutan kerap kali melihat haiwan berbisa muncul di kawasan rumah berkenaan.

Kawasan rumah yang dilitupi tumbuhan menjalar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan berkata, rumah berkenaan dikesan ketika pasukan bertugas melakukan rondaan bagi memantau paras air Sungai Kinabatangan dan kawasan berisiko banjir.

Katanya, rumah berkenaan didapati dalam keadaan keseluruhan bumbung dan dapur rumah dipenuhi tumbuhan.

Pasukan bomba membersihkan rumah penduduk yang dilitupi tumbuhan menjalar di Batu 8, Jalan Bukit Garam, Kinabatangan.

“Rumah berkenaan dihuni oleh sebuah keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan empat anak.

“Keluarga terbabit tidak dapat berbuat sesuatu untuk membersihkan rumah disebabkan tumbuhan itu menjalar melalui sebatang pokok berhampiran rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Pasukan Bomba Kinabatangan terus menawarkan bantuan untuk membersihkan rumah berkenaan.

Malah katanya, penghuni rumah berkenaan juga mendakwa selalu melihat binatang seperti ular, kala jengking dan lipan berada di bahagian belakang dan atap rumah.

“Alhamdulillah, dengan terlaksananya gerak kerja pembersihan berkenaan, rumah penduduk terbabit berjaya dibersihkan untuk keselesaan.

“Operasi pembersihan berkenaan yang disertai lima anggota dan pegawai tamat pada jam 5 petang tadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|