Tuaran: Kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan terutama golongan belia dalam agenda memacu pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, ia antara perkara yang diberi penekanan selain memberi tumpuan kepada sektor utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri.
Katanya, kerajaan negeri juga menekankan teras kedua Pelan Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kemakmuran Rakyat.
Menurutnya, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, Sabah merekodkan jumlah populasi belia berusia 15 hingga 40 tahun lebih 50 peratus pada 2020.
“Hakikatnya bukan hanya jumlah populasi yang dilihat tetapi sebagai generasi penting dalam memacu pembangunan pada masa hadapan, golongan belia tidak akan dikesampingkan.
“Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai program dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang, antaranya memperuntukkan sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam Belanjawan 2022 negeri bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutama dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Tumpuan kita adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing.
“Ini adalah antara usaha kerajaan bagi
merealisasikan hasrat belia yang ingin menyumbang kepada pembangunan modal insan, ekonomi serta kesejahteraan sosial di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub merasmikan sambutan itu.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Jemaah Kabinet Negeri Sabah.
Sementara itu, Hajiji berkata, menyantuni cadangan daripada kumpulan anak muda yang mahu memulakan perniagaan, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
Inisiatif itu katanya melibatkan bantuan kepada usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan bantuan memulakan perniagaan.
Menurutnya, kerajaan negeri yang peka dan prihatin dengan isu pengangguran melibatkan golongan belia telah melancarkan penyerahan bantuan motosikal BizRider300 sebanyak 300 motosikal kepada belia di negeri ini melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), pada Khamis lalu.
Katanya, usaha itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran sekali gus memberi peluang pekerjaan dengan melakukan penghantaran makanan dan keperluan harian.
Dalam pada itu, Hajiji juga mahu melihat anak-anak muda lebih inovaif, berfikir di luar kotak dan menggunakan pendekatan baharu dalam cara bekerja serta berfiikir.
“Golongan belia perlu lebih menonjol, dinamik dan proaktif serta bercita-cita untuk melangkaui sempadan tempatan. Terokai peluang, luaskan kemahiran anda, memupuk kreativiti dan berfikir secara kritis.
“Semua ini adalah antara kemahiran yang diperlukan untuk menjadi generasi yang cekap dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada semua warga belia selaku aset penting untuk negara, yang sentiasa bersamassama kerajaan dalam membangunkan negeri ini dan negara.
“Semoga semua warga belia terus menyerlah menjadi belia yang berdaya saing dan dapat memberi sumbangan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Kerajaan juga akan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaan, usaha dan suara seluruh warga belia”, katanya.
Lebih 5,000 warga belia berkumpul di Tuaran bagi meraikan sambutan Hari Belia Negara 2022 dengan tema Ini Masa Kita.
-Deasoka