Kadar pengangguran belia turun suku pertama tahun ini – PM

Kadar pengangguran belia turun suku pertama tahun ini – PM

Tuaran: Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 berbanding 627,000 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia-belia,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, di sini, hari ini.

Jelas beliau, terbaharu kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

“Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.

“Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan,” katanya.

Tambah beliau lagi, agromakanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini.

“Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

“Pembabitan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.

“Saya menyeru graduan yang berminat dan golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, walaupun HBN peringkat kebangsaan diadakan di Tuaran namun peluang kerjaya menerusi segmen Y-Career tetap dibawa bersama dengan melibatkan 30 syarikat dengan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia.

“Justeru, saya menyarankan agar belia di Tuaran menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang melibatkan golongan belia agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|