Sabah FC tidak mahu hilang mata lagi

Sabah FC tidak mahu hilang mata lagi

Kota Kinabalu: Sabah tidak mahu kehilangan mata pada pertemuan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Terengganu, Sabtu ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata ia bagi mengekalkan kedudukannya dalam kelompok terbaik Liga Super 2022 yang hanya berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi.

Jelasnya, bagi mengelak kehilangan mata, pemainnya perlu mempamerkan aksi terbaik mereka bagi memenangi perlawanan itu.

Dengan tempoh rehat yang lama selepas perlawanan terakhir menentang Selangor FC pada 10 September lalu, Kim Swee yakin pasukannya dapat memperbaiki segala kelemahan sebelum ini.

“Saya berharap, apabila kita bermain dengan Terengganu FC Sabtu ini, kita berjaya mendapatkan keputusan yang positif kerana kita tidak boleh lagi keciciran mata untuk kita mengekalkan tempat kedua ataupun dalam kelompok yang terbaik.

“Meskipun tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan lalu sudah tentu akan memberi sedikit impak yang cukup berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sabah FC tewas 3-2 pada perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Likas, 10 September lalu menyebabkannya kehilangan mata untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

Bagaimanapun, Kim Swee berkata beliau telah menganalisa dan memasitkan pasukannya berlatih seperti mana yang diinginkan sebelum bermain dengan Terengganu.

“Semua pemain kini berada dalam tahap terbaik untuk memberikan persembahan yang lebih sempurna seperti mana yang kita tunjukkan sebelum-sebelum ini,” katanya.

Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah (1-1); Kuala Lumpur (2-2) dan kalah kepada Selangor (2-3).

Sementara itu, menurut Kim Swee ketika ini hanya pemain import Jose Embalo sahaja yang masih mengalami kecederaan.

“Kita mempunyai semua pemain yang cukup cergas untuk menggantikan tempat beliau dan sesiapa yang diturunkan saya harap dapat melaksanakan tugas dengan terbaik,” katanya.

Sabah FC pada ketika ini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul 36 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang unggul dengan 43 mata.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|