Kerusi PRU?, terpulang dengan penerimaan rakyat: Raime

Kerusi PRU?, terpulang dengan penerimaan rakyat: Raime

Kota Kinabalu: Semua parti politik di negara dan negeri ini berhak menyuarakan minat masing-masing dalam mempertaruhkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke – 15 (PRU-15) akan datang.

Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Raime Unggi, ia lebih kepada istilah ‘open floor’ kerana yang penting, rakyat menjadi penentu calon mana yang digemari menerusi keputusan kertas undi.

“Semua parti politik berhak menyuarakan pendapat, kehendak atau keinginan mereka pada PRU-15 nanti, kerana yang menentukan kelak adalah rakyat.

“Bagaimanapun, saya suka memperjelaskan kepada ayat pepatah seperti ukur baju di badan sendiri, kalau berkelayakan silalah masuk gelanggang PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan parti pembangkang di Sabah, Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang menyatakan kesediaan mereka merebut kesemua 25 kerusi Parlimen yang diperandingkan pada PRU-15 di negeri ini.

Kenyataan tersebut diumumkan oleh Naib Presidennya, Datuk Terrence Siambun dalam satu siaran akhbar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Raime berkata, untuk BN Sabah pihaknya terus komited untuk memperkuatkan jentera parti menjelangnya PRU yang dijangka akan berlangsung pada masa terdekat.

“Kita telah banyak melaksanakan program sama ada di peringkat akar umbi hinggalah pucuk pimpinan dan BN Sabah juga sudah bersedia.

“Antara intipati yang kita rancak laksanakan adalah seperti program jelajah Gelombang Biru di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|