Jelajah Gelombang Biru: 10,000 dijangka banjiri Padang Bandaran Sandakan

Jelajah Gelombang Biru: 10,000 dijangka banjiri Padang Bandaran Sandakan

Kota Kinabalu: Kira-kira 10,000 orang dijangka membanjiri Padang Bandaran Sandakan untuk menzahirkan solidariti kepada Barisan Nasional (BN) sempena Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5 pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jelajah Zon 5 merangkumi bahagian Kinabatangan, Beluran, Libaran, Batu Sapi dan Sandakan menjadikannya program keempat selepas jelajah sama diadakan di Tawau, Kota Belud dan Pensiangan sebelum ini.

Katanya, Jelajah Gelombang Biru di Sandakan bermula Sabtu ini dengan pelbagai pengisian termasuk Bakat RTM, persembahan kebudayaan, tarian, persembahan hiburan Renewar Band, Lai Norman FT Atomic Power, Secret Busker, Qysstyna Busker, Peristiwa Busker, MZA Musician, senam robik dan cabutan tiket bertuah.

Beliau berkata, pada hari berikutnya majlis perasmian Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5 akan diadakan di tempat yang sama bermula jam 2 petang dan akan disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Sebelum majlis perasmian pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa artis jemputan antaranya Zuaba Zulmat, Rudy FT Shima, Masmona, cabutan tiket bertuah selain pengunjung juga boleh mengunjungi gerai pameran dan jualan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, mengajak semua ahli BN, UMNO dan seluruh pemimpin BN di zon yang terlibat datang beramai-ramai untuk memeriahkan majlis berkenaan dan menyatakan solidariti ahli parti untuk bersama-sama berjuang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Majlis ini adalah titik tolak bagi menyatakan kesediaan kita merapatkan barisan menyokong wawasan bagi memastikan kita bersedia untuk menghadapi PRU-15 yang diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan berkata, jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN akan diteruskan lagi ke beberapa zon lain iaitu Zon 1 (Kudat dan Kota Marudu); Zon 4 (Ranau, Keningau dan Tenom); Zon 3 (Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang); dan Zon 2 (Sepanggar, Kota Kinabalu Putatan dan Penampang).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|