Ewon sokong lantik Pairin jadi TYT

Ewon sokong lantik Pairin jadi TYT

Penampang: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick hari ini menyokong syor agar Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Katanya, Pairin mempunyai kredibiliti cemerlang untuk dilantik menjadi TYT Sabah berdasarkan latar belakangnya sebagai pengasas parti berbilang kaum dan menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah parti berbilang kaum itu.

“TYT adalah simbol kesatuan dan perpaduan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama. Maka nyata sekali Pairin mempunyai kredibiliti untuk dilantik sebagai TYT Sabah yang seterusnya,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan yang dibuat oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) agar Pairin dilantik sebagai TYT Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang akan mengambil alih teraju kepimpinan UPKO sebagai Presiden yang baharu pada kongres parti itu bulan depan turut menyatakan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak mempunyai halangan agar Pairin dilantik sebagai TYT.

“Perlembagaan Negeri Sabah tidak mempunyai halangan bagi seseorang seperti Tan Sri Pairin dilantik menjadi TYT.

“Maka saya amat menyokong sepenuhnya jika Kerajaan Sabah hari ini mengangkat nama Pairin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai TYT Sabah yang baharu,” katanya.

KDCA mencadangkan nama Pairin yang sebagai pengganti kepada TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.

Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun berkata, Pairin, 82 adalah pemimpin tempatan yang mampu mewakili Sabah sebagai Yang di-Pertua Negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|